Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya melalui Jabatan Penjara telah menganjurkan Majlis Takreem Al-Quran pada hari Rabu, 25 Ramadan 1446H bersamaan 26 Mac 2025M bertempat Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Zohor berjemaah diimamkan oleh Yang Mulia Muhd Yusri bin Othman, Guru Ugama Terlatih, Jabatan Penjara dan diikuti dengan penyampaian derma bagi anak-anak yatim warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat.
Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim yang dimulakan dengan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Majlis diselajurkan dengan bacaan tahlil dan Dikir Syarafill Anam dan diakhiri dengan bacaan Doa Takhtim dan seterusnya Doa Allah Peliharakan Sultan.
Majlis ini diadakan bertujuan bagi memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran, iaitu peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama sebagai wahyu Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Disamping memohon keberkatan dan mendapatkan ganjaran pahala yang sebanyaknya pada bulan yang mubarak ini, majlis ini juga bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian serta menunjukkan sifat keprihatinan kepada anak-anak yatim.
Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua- Ketua Jabatan, Pegawai- Pegawai Kanan, Pegawai dan Kakitangan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.



